KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe menyeru semua pengetua atau pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) supaya mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka terjamin.
Katanya, ia bagi mengelak kejadian seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang didera seorang pengasuh wanita, di sebuah Taska, di Luyang, baru-baru ini.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan dan pengusaha Taska untuk memastikan tidak berlaku kejadian dera seperti mana yang tular di media sosial sejak semalam.
“Saya menyeru semua pengusaha-pengusaha (Taska) supaya ambik keprihatinan yang lebih besar lagi, walaupun ia dilakukan oleh seorang cikgu ataupun guru, tapi sebagai pengetua atau pengusaha memang ada tanggungjawab besar untuk mereka menjaga anak-anak orang lain dalam jagaan mereka.
“Sekarang ini zaman moden, memang kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke Taska kerana kedua-duanya bekerja.
“Saya harap orang ramai atau masyarakat umum menjadikan perkara ini (kes dera kanak-kanak di Taska) sebagai satu pengajaran aagar ianya tidak berulang di mana-mana Taska pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan meninjau Taska tempat berlakunya kes dera berkenaan, di Luyang, pagi tadi.
Sementara itu, Phoong berharap, masyarakat umum tidak menyalahkan pengusaha Taska terbabit semata-mata.
Katanya, Taska tempat berlakunya kejadian dera itu tidak pernah bermasalah sejak diwujudkan lebih 17 tahun lalu.
“Sejak 2007, Taska Little Angel ini tiada apa-apa masalah besar, ini cuma satu kes yang tiba-tiba timbul.
“Janganlah kita turut salahkan pihak pengurusan Taska hanya kerana kesalahan individu,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang.
Rakaman CCTV yang mula tersebar semalam itu menunjukkan kanak-kanak lelaki itu turut ditampar dan dipukul menggunakan pembaris di bahagian muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.
Dalam perkembangan sama, pengasuh wanita terbabit yang berusia 27 tahun telah ditahan polis dan direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Wanita itu direman bermula esok hingga 17 Ogos depan selepas kebenaran reman dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, suspek wanita itu ditahan malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes dera kanak-kanak di sebuah taska di Luyang.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – Info X