Search

Peniaga asing ‘membanjiri’ Moyog dan Kapayan – Warisan

July 29, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Pemimpin Parti Warisan mendakwa peniaga asing ‘membanjiri’ kampung-kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog dan Kapayan, di sini.

Setiausaha Politik Timbalan Presiden Warisan, Pritchard Gumbaris, berkata perkara itu bukan isu baharu di daerah ini, malah kehadiran peniaga terbabit kian bertambah.

Dakwanya, jika ditinjau di kampung-kampung sekitar daerah ini, kehadiran peniaga asing yang membuka kedai runcit mudah dilihat, berbanding peniaga tempatan.

Katanya, perkara itu wajar diambil perhatian sejajar kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menegaskan lesen kedai runcit di kampung-kampung tidak boleh dikeluarkan kepada warga asing.

“Saya sangat setuju dan saya percaya ia bukan pengumuman untuk Semenanjung saja tetapi dikuatkuasakan sepenuhnya termasuk di Sabah.

“Hari ini Kapayan dan Moyog dibanjiri peniaga asing, pergilah ke kampung-kampung di sini dan kamu akan melihatnya sendiri, peniaga tempatan diketepikan dan orang luar mengambil alih ruang yang sepatutnya untuk rakyat Sabah.

“Isu ini juga bukan setakat di Penampang saja, situasi yang sama berlaku di setiap daerah di Sabah, dengan komuniti luar bandar dan bandar merasai tekanan daripada operasi kedai runcit warga asing yang tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ketua Cawangan Warisan Kampung Kapayan itu berkata, bagi daerah ini isu peniaga asing bukan perkara baharu.

Katanya, ia pernah diselesaikan sebelum ini menerusi tindakan tegas dengan kerjasama Majlis Daerah Penampang, ketika kerajaan Warisan Plus berkuasa.

Tindakan itu, jelasnya bagi menangani pembukaan kedai runcit yang dikendalikan warga asing.

“Setiap permohonan lesen berniaga di kampung perlu mendapat pengesahan Ketua Kampung dan Ketua Kampung juga mesti tegas apabila meluluskan permohonan, tiada jalan pintas.

“Pejabat kami sendiri menyemak setiap kes melalui temuramah, gambar foto dan tinjauan tapak, saya mempengerusikan mesyuarat bersama dengan pemimpin kampung bagi meneliti permohonan.

“Kita tidak takut untuk menolak mana-mana yang didapati membabitkan warga asing menggunakan proksi warga tempatan atau memalsukan dokumen,” katanya.

Langkah itu katanya memang berkesan dan akhirnya kedai runcit kampung yang dikendalikan warga asing berkurangan secara drastik, sekali gus memberi peluang kepada usahawan tempatan bernafas semula.

Bagaimanapun, katanya hari ini langkah yang pernah dilaksanakan ketika kerajaan Warisan itu tidak lagi dibuat.

“Di bawah Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang sekarang penguatkuasaan sudah musnah.

“Proses yang kita bina tidak dikekalkan dan sekarang peniaga warga asing kembali bertambah,” katanya.

Pritchard turut menggesa Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam supaya mengambil serius isu itu sejajar tanggungjawab kementeriannya memastikan pihak berkuasa tempatan melaksanakan undang-undang yang berkaitan. – Info X