KUNDASANG: Peniaga gerai sayur Kundasang menerima bantuan ihsan berikutan insiden kebakaran yang memusnahkan beberapa premis di pekan ini pada 13 Mac lalu.
Bantuan ihsan itu disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, pada Sabtu.
Bantuan itu, katanya bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.
Kebakaran pada Khamis lalu itu memusnahkan lapan premis, termasuk tiga kedai runcit dua inap desa, satu blok rumah sewa 11 pintu dan sebuah stor barang runcit.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, ketika kejadian beliau berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63.

Beliau berkata, pihaknya menunggu laporan penuh kebakaran dari bahagian forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Pejabat Daerah dan JBPM akan bermesyuarat pada minggu depan untuk tindakan selanjutnya.
“Kita berharap Majlis Daerah dapat membantu mempercepatkan proses pembinaan semula premis yang terjejas, mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Sani; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) Kundasang, Suatin Mayor dan Presiden Persatuan Penjaja Gerai Sayur Kundasang, Mariana Taliban. – Info X