Search

Penjara Sabah bebaskan 18 banduan, rai Aidiladha bersama keluarga

June 27, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Penjara Sabah dan Labuan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani membebaskan seramai 18 Orang Bebas Berlesen (OBB) sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Timbalan Pengarah Penjara Sabah dan Labuan, Abdul Rauf Lang Pasih berkata, seramai 17 OBB adalah daripada Penjara Pusat Kota Kinabalu manakala seorang lagi OBB adalah penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu.

“Ini adalah pembebasan kali ketiga selepas program sempena Hari Raya Aidilfitri dan Perayaan Hari Kaamatan bulan lalu.

“Program kali ini agak berbeza dengan program yang diadakan sepanjang tahun berikutan diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri membabitkan 30 penghuni keseluruhan di Jabatan Penjara Sabah,” katanya semasa sidang media selepas program terbabit di Jabatan Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Kesumawati Ilas dan Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Teyun Thian Eim.

Menurutnya, OBB yang dibebaskan kali ini berpeluang meraikan Aidiladha bersama keluarga seterusnya menjadi satu medium untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara ahli keluarga yang lama terputus sepanjang menjalani hukuman di penjara.

Salah seorang OBB menerima dokumen pembebasan ketika program PBSL di Penjara Pusat Kota Kinabalu.

“OBB yang dibebaskan mempunyai satu kelebihan dan keistimewaan berikutan tidak semua banduan berpeluang menikmati pembebasan terutama semasa musim perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba.

“Mereka yang terpilih adalah insan yang berjaya dan layak diberi peluang untuk bersama keluarga meraikan hari gembira ini bersama-sama.

“Gunakanlah peluang ini sebaiknya, tinggalkan dan perbaiki kesilapan lalu agar menjadi seorang warganegara yang produktif dan berjaya di luar sana,” katanya.

Beliau juga menghargai kerjasama yang diberikan oleh majikan serta penglibatan ahli keluarga serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa menyokong pelaksanaan program ini.

“Kita juga mengalu-alukan lebih ramai majikan atau pihak berkaitan menyokong program ini bagi memastikan program pemulihan dalam komuniti ini berjaya melahirkan penghuni berdaya saing sekembalinya ke pangkuan masyarakat sama ada sebagai suami, isteri atau anak,” katanya.

Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memperkasa program pemulihan dalam komuniti dan PBSL sangat berkesan menerusi pencapaian kadar residivis atau pengulangan perlakuan jenayah dikalangan penghuni penjara pada tahap 18.6 peratus berbanding penghuni penjara yang menjalani hukuman sepenuhnya di dalam penjara iaitu hanya 0.24 peratus tahun lalu.

Usaha ini juga dilihat mampu mengurangkan kesesakan dan kos pengurusan banduan berikutan Penjara Pusat Kota Kinabalu mencapai lebihan kapasiti sehingga 2576 penghuni berbanding jumlah kapasiti hanya 1329 orang.

PBSL dilaksanakan secara bersyarat membabitkan banduan yang menjalani hukuman bagi tempoh kurang setahun selain sudah menjalani sebahagian hukuman penjara atau sekurang-kurangnya mempunyai baki hukuman selama dua bulan.

Banduan yang dibenarkan menjalani PBSL juga membabitkan penghuni yang berjaya menjalani fasa pertama Program Pembangunan Insan di penjara selain mendapat pengesahan dan persetujuan keluarga, badan kebajikan serta majikan yang menyediakan tempat tinggal dan pekerjaan semasa banduan di luar penjara. – Info X