Search

Penjawat awam antara empat ditahan miliki air ketum

May 30, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang penjawat awam antara empat lelaki yang ditahan bersama 69 botol plastik berisi air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang it, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, berjaya menahan semua suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun kerana disyaki terbabit dalam penggunaan, penyimpanan dan pengedaran air ketum.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan berkenaan dijalankan berdasarkan hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, semua suspek ditemui sedang duduk di bawah rumah berkenaan dan pemeriksaan awal terhadap Keempat-empat lelaki itu tidak menemukan sebarang barang salah.

“Namun pemeriksaan lanjut menemukan tiga botol berisi cecair berwarna keperangan disyaki air ketum di atas sebuah meja.

“Soal siasat terhadap seorang suspek, polis menemukan sebuah tong biru mengandungi 66 botol plastik 1.5 liter yang turut berisi cecair disyaki air ketum.

“Jumlah keseluruhan isi padu lebih 101 liter air ketum dengan nilai rampasan dianggarkan RM1,400,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Empat lelaki ditahan miliki air ketum di Tawau.

Menurutnya, semua suspek warga tempatan yang juga penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

“Suspek turut mengaku memproses sendiri air ketum sebelum dijual kepada penagih tempatan dengan harga RM20 sebotol. Dua lagi suspek mengaku terbabit dalam penagihan air ketum sejak setahun lalu.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah, manakala semakan rekod jenayah lampau tidak menemukan sebarang kesalahan jenayah,” katanya.

Sementara itu, Jasmin menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan bahan larangan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara. – Info X