Search

Penjawat awam negeri terima bantuan khas kewangan RM1,000

March 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 sempena sambutan Aidilfitri dan Kaamatan tahun ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebanyak RM500 akan diberikan menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Beliau berkata, baki sebanyak RM500 lagi akan diberikan menjelang sambutan Kaamatan pada Mei depan.

“Kerajaan Negeri Sabah hari ini meluluskan pemberian Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan tahun ini.

“Bantuan khas ini melibatkan pembayaran RM500 sempena Hari Raya Aidilfitri dan RM500 lagi sempena Pesta Kaamatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemberian itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mensejahterakan penjawat awam negeri, selain menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan penjawat awam.

“Keputusan ini dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah hari ini dan pembayaran akan dibuat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan berharap bantuan khas ini akan menjadi suntikan semangat untuk terus berusaha lebih gigih dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cemerlang,” katanya. – Info X