Search

‘Penjenayah tidak lagi merempuh pintu rumah, mereka menceroboh telefon bimbit’ – Matbali

July 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Mereka tidak lagi merempuh pintu rumah. Mereka menceroboh melalui telefon bimbit,” kata Datuk Matbali Musa merujuk kepada peningkatan kes jenayah siber yang semakin membimbangkan.

Ahli Parlimen Sipitang itu, berkata dalam era teknologi digital ketika ini, musuh tidak lagi semestinya datang dengan senjata, sebaliknya datang dengan papan kekunci.

Atas sebab itu, katanya pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber di Dewan Rakyat adalah langkah penting bagi melindungi akses sistem komputer, data dan komunikasi.

“Ini penting kerana penjenayah siber tidak menunggu matahari terbit. Mereka tidak menunggu pejabat dibuka. Mereka tidak menunggu fail dipindahkan dari satu meja ke satu meja.

“Mereka bergerak sepantas cahaya. Bukti boleh dipadam dalam beberapa saat. Wang boleh dipindahkan dalam beberapa minit. Identiti boleh diubah dalam satu klik,” katanya ketika membahas RUU Jenayah Siber pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Matbali berkata, hilang simpanan seumur hidup dan wang lesap dalam beberapa minit angkara ‘scammer’ antara kesan jenayah siber yang perlu ditangani sebaik mungkin melalui pengukuhan undang-undang.

Menceritakan nasib mangsa penipuan era digital itu, beliau berkata ia menunjukkan pentingnya langkah melindungi rakyat daripada ancaman teknologi digital melalui undang-undang yang lebih kukuh.

Katanya, sudah banyak kes jenayah siber yang menjejaskan orang ramai, termasuk di kawasan pedalaman berlaku di negara ini dengan pelbagai taktik penipuan digunakan penjenayah.

“Saya melihat bagaimana ada yang kehilangan simpanan seumur hidup kerana menjadi mangsa penipuan digital atau disebut scammer.

“Saya melihat warga emas menangis kerana wang persaraan lesap dalam beberapa minit angkara scammer ini. Mereka inilah yang wajib kita lindungi,” katanya.

Berikutan itu, Matbali menyatakan sokongan penuhnya terhadap RUU Jenayah Siber dalam memperkukuhkan sistem perundangan bagi menangani pelbagai isu dan ancaman siber.

Katanya, RUU itu penting berikutan peningkatan jenayah siber yang semakin membimbangkan dan menegaskan ia bukan lahir disebabkan negara mahu memperluaskan kuasa.

“Sebaliknya langkah ini kerana jenayah telah berkembang lebih pantas daripada undang-undang.

“Teknologi bergerak setiap saat. Penjenayah berubah setiap hari. Maka undang-undang juga wajib bergerak seiringan, agar keadilan tidak terus tertinggal di belakang kejahatan,” katanya.

Matbali berkata Akta Jenayah Komputer 1997 telah berjasa kepada negara dan ia sangat dihargai kerana banyak membantu.

Katanya, setelah hampir tiga dekad berlalu, kecerdasan buatan kini berkembang di mana transaksi digital menjadi kebiasaan dan amalan, justeru undang-undang juga mesti berevolusi.

Justeru, beliau melihat RUU itu sebagai sebuah jambatan antara keselamatan dan kemajuan.

“Tanpa keselamatan, kemajuan akan runtuh. Tanpa keyakinan, ekonomi digital akan lumpuh. Tanpa perlindungan, teknologi akan bertukar daripada rahmat menjadi musibah.

“Kerana itulah negara memerlukan suatu kerangka undang-undang yang menyeluruh bagi menangani penipuan digital, kecurian identiti, manipulasi kandungan dan pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin canggih,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dalam mengharungi derasnya arus pendigitalan, negara memerlukan sebuah benteng undang-undang yang bukan sahaja kukuh menahan gelombang ancaman, tetapi juga bijaksana memelihara hak rakyat.

“Jika dahulu nenek moyang kita mempertahankan tanah air dengan darah dan keberanian, maka pada hari ini menjadi tanggungjawab kita mempertahankan ruang siber dengan kebijaksanaan undang-undang dan ketegasan kerajaan,” katanya. – Info X