Search

Penjual sayur parah disamun guna samurai

May 2, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Seorang penjual sayur parah di kedua-dua belah tangan selepas dipercayai ditetak dengan samurai dalam kejadian samun di tepi jalan masuk kawasan perumahan Melinsung Summer Bay Apartment, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun dilaporkan mengalami kecederaan patah tulang selain luka di kedua-dua belah tangannya.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan, sebelum kejadian mangsa bersama tunangnya baru selesai menghantar sayur di Kota Kinabalu.

Katanya, kedua-dua mereka kemudiannya bergerak pulang ke Papar sebelum singgah di tempat kejadian untuk makan malam di sebuah restoran berhampiran.

“Mangsa bersama tunangnya parkir kenderaan mereka di tepi jalan sebelum berjalan ke kedai makan berkenaan.

“Bagaimanapun, sebuah kereta Perodua Myvi tiba-tiba berhenti berhampiran mangsa sebelum seorang lelaki yang memegang benda tajam disyaki sebilah samurai terus menyerang tunang mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamaruddin berkata, suspek yang memakai topi keleder dikatakan merampas beg silang milik tunang mangsa sehingga berlaku bergelutan antara mangsa dengan suspek terbabit.

Katanya, mangsa ditetak sebanyak dua kali menggunakan samurai dan menyebabkan kedua-dua tangannya cedera.

Lokasi mangsa disamun suspek dengan menggunakan samurai di tepi jalan masuk kawasan perumahan Melinsung Summer Bay Apartment, Papar. – Foto/PDRM

“Mangsa dalam keadaan stabil dan turut kehilangan barang-barang iaitu beg yang mengandungi beberapa dokumen penting dan telefon bimbit.

“Suspek berjaya melarikan diri menggunakan Perodua Myvi yang dipercayai dipandu rakan sejenayah suspek.

“Selepas kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Papar oleh tunangnya untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya masih berusaha dan membuat risikan untuk mengesan suspek terbabit dan orang awam juga diminta untuk menyampaikan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis dengan kadar segera di talian 088-912222 atau memaklumkan kepada balai polis berdekatan.

“Sekirannya ada maklumat berkaitan kes ini, orang awam diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Wong Yew Zhung di talian 010-5635169.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan parah,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berjalan di kawasan yang agak gelak dan sunyi di waktu malam.

“Selain itu, perlu meletakkan kenderaan mereka di kawasan yang terang atau ada lampu serta memastikan kawasan persekitaran adalah selamat sebelum bergerak ke mana-mana,” katanya. – Info X