KOTA KINABALU: Seorang penolong jurutera di sebuah Pejabat Daerah Kecil di Tuaran didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan berjumlah lebih RM218,000 berkaitan urusan perniagaan milik ahli keluarganya.
Tertuduh, Aldey Kangit, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elsie Primus ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas dua pertuduhan, di sini, pada Khamis.
Bagi pertuduhan pertama, Aldey didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM75,998.10 untuk sepupunya melalui sebuah syarikat perniagaan yang didakwa dilakukan di Pejabat Daerah Kecil Kiulu pada 22 Ogos 2023.
Menerusi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM142,490.50 untuk individu yang sama melalui perniagaan terbabit yang didakwa berlaku di lokasi sama pada 13 September 2023.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dengan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM10,000 dan dua penjamin tempatan.
Tertuduh diperihtah melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, dilarang mengganggu saksi serta diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman.
Mahkamah menetapkan 23 Februari depan sebagai tarikh pengurusan kes. – Info X