KOTA BELUD: Seorang penoreh getah di sini, tidak pernah terfikir mampu bergelar jutawan lebih-lebih lagi dengan pendapatan yang tidak seberapa hasil kerja menoreh getah.
Namun, siapa sangka nasib Johni Satur, 57, bakal berubah apabila beliau mula menyimpan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui Sijil Simpanan Premium (SSP) pada 2022.
Selama kira-kira dua tahun menyimpan melalui SSP menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tanpa diduga nama Johni terpilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP ke-99.
Ketika mula dihubungi pihak BSN pada minggu lalu, Johni juga tidak percaya memenangi cabutan berkenaan dan menjadi jutawan, sebaliknya bimbang ia satu penipuan atau ‘scammer’ berikutan banyak kes penipuan yang menggunakan taktik ganjaran wang.
“Saya masih rasa seperti mimpi dapat menang RM1 juta.
“Malahan saya lambat memberi respon ketika dihubungi pihak BSN minggu lalu kerana bimbang ia adalah suatu skim penipuan.
“Selepas beberapa kali diyakinkan, barulah saya percaya menjadi salah seorang pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP,” katanya ketika ditemui di Kampung Lasau Minunsud, di sini, pada Khamis.

Beliau menerima hadiah kemenangan itu daripada Ketua Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil yang turut hadir semalam.
Johni berkata, sebagai penoreh getah, pendapatannya hanya sekitar RM500 sebulan dan beliau mengakui jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Sementara itu, mengulas mengenai perancangannya selepas memenangi wang RM1 juta itu, bapa kepada lima cahaya mata berusia antara tujuh hingga 30 tahun itu merancang membina rumah baharu untuk keselesaan keluarga.
Selain itu, Johni berkata wang itu juga akan digunakan untuk pendidikan anak-anak memandangkan dua anaknya masih bersekolah di tahun satu dan tingkatan enam.
Sementara itu, anak keduanya, Romexh Johni, 27, berkata dia meminta bapanya supaya menyimpan wang kemenangan itu dalam akaun BSN agar lebih selamat kerana bimbang bapanya menjadi mangsa penipuan.
“Awalnya saya tidak tahu tentang peraduan ini sehingga dimaklumkan di kaunter BSN.
“Kebetulan bapa saya juga memang salah seorang pelanggan yang menyimpan wang di BSN selama ini,” katanya yang juga graduan dalam bidang pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu.
Atas saranan Romexh, ayahnya membeli SSP pada 2022 yang tanpa diduga terpilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP ke-99. – Info X