KOTA KINABALU: Penumpang belakang digalakkan untuk memakai tali pinggang keledar sebagai langkah keselamatan ya g mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya maut.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, aspek keselamatan itu sudah lama dikuatkuasakan namun kesedaran dalam kalangan penumpang masih perlu dipertingkatkan.
Katanya, pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang di tempat duduk hadapan dan belakang mampu mengurangkan risiko kemalangan maut sehingga 50 peratus.

“JPJ mengingatkan semua penumpang supaya sentiasa memakai tali pinggang keledar demi keselamatan diri.
“Pemakaian tali pinggan keledar mampu mengurangkan 50 peratus risiko kemalangan maut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena operasi khas Tahun Baharu Cina 2026 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Terminal Bas KK Sentral, di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Mohd Harris berkata, operasi khas keselamatan jalan raya sempena tahun baharu Cina 2026 akan dilaksanakan selama 14 hari bermula 9 Februari hingga 22 Februari ini.
Katanya, operasi khas berkenaan bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa.

“Melalui operasi khas itu, pihak JPJ akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya.
“Antara kesalahan tumpuan adalah tidak mematuhi had laju, isyarat lalu lintas, memotong di garis berkembar, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Kesalahan lain yang turut dipantau termasuk tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, membawa lebih muatan serta membawa muatan secara berbahaya,” katanya. – info X