Search

Penumpang MPV maut tersepit akibat kemalangan dengan lori

May 22, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Seorang lelaki maut manakala dua cedera dalam selepas kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 16, Jalan Papar – Bongawan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.48 pagi itu, mangsa lelaki berusia 66 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Grand Livina dinaiki mangsa bersama dua lagi lelaki dari arah Papar menuju ke Membakut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu lelaki berusia 35 tahun itu telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke lorong bertentangan dan melanggar tayar hadapan sebelah kanan lori.

“Akibat kemalangan itu, penumpang belakang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu parah di bahagian kaki dan dada manakala penumpang hadapan cedera ringan.

“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Papar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis turut berada di lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. – Info X