TAWAU: Penumpang kenderaan pacuan empat roda yang terbabas dan jatuh ke dalam sungai di Batu 2, Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi, disahkan meninggal dunia.
Mangsa Mohd Azrul Shah Abraham, 31, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau, manakala pemandu masih menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 5.50 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pikap jenis Isuzu D Max dari arah Kudat menuju ke Pasar Ikan Tawau dengan membawa muatan pelbagai jenis ikan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu berusia 31 tahun dipercayai memandu laju sehingga menyebabkan hilang kawalan.
“Pikap berkenaan terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang besi jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, salah seorang daripada mangsa dikeluarkan oleh orang awam, manakala seorang lagi diselamatkan oleh pasukan bomba.
“Kedua-dua mangsa terbabit mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tawau oleh ambulan untuk menerima rawatan lanjut.
“Pemandu hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pembantunya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau,” katanya.
Jasmin berkata, polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian. – Info X