KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kota Belud- Tuaran, Kampung Lentigi, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 2.34 petang itu, mangsa lelaki berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua buah motosikal.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Kota Belud menuju ke Tuaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai memotong sebuah lori dan telah terlanggar belakang sebuah motosikal di hadapan lalu hilang kawalan dan terjatuh ke lorong kiri.
“Pada masa sama, lori yang telah dipotong itu disyaki tergilis motosikal ditunggang oleh mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, akibat daripada kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Shahrudin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik. – Info X