Search

Penunggang maut motosikal lawan arus bertembung kereta

May 25, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Akibat menunggang secara melawan arus, seorang lelaki maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kota Kinabalu – Papar, berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, penunggang motosikal warga tempatan berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun dari arah Petagas menunu ke Papar.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, berlaku perlanggaran dengan sebuah motosikal yang disyaki ditunggang secara melawan arus dari arah Kinarut menuju ke Putatan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Jalan Kota Kinabalu – Papar, berhampiran Kampung Meruntum, Putatan.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospita Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Amrin Mohamad Arif di talian 017-6638278,” katanya.

Sementara itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta supaya tidak menularkan sebarang imej atau video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. – Info X