Search

Penunggang maut, pembonceng parah dalam kemalangan

April 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala pemboncengnya parah selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sepanggar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Likas, jam 12.23 tengah malam.

Manakala, pemboncengnya lelaki berusia berusia 22 tahun parah patah kaki kanan dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), untuk rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Sepanggar menuju ke Kota Kinabalu.

“Manakala kereta jenis Toyota Land Cruiser dipandu lelaki berusia 19 tahun dari arah UITM Sepanggar hendak membuat pusingan U, menghala ke Kota Kinabalu.

“Ketika kereta itu membuat pusingan U dan kedudukan kenderaan masih melintang dilorong laluan motosikal, secara tiba-tiba dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa dibahagian belakang sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kalsom berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal parah dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Likas.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meningggal dunia pada jam 12.23 tengah malam oleh doktor.

“Pemboncengnya parah patah kaki sebelah kanan manakala pemandu Toyota Land Cruiser tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X