BELURAN: Seorang lelaki maut manakala pemboncengnya parah selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Buis/Kiabau, Telupid, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.12 petang itu, mangsa berusia 22 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati lori tiga dari arah Kiabau manakala penunggang bersama pembonceng motosikal dari arah Kampung Buis.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal bersama pembonceng hilang kawalan ketika melalui satu jalan berselekoh dan basah sebelum bertembung dengan lori tiga di laluan bertentangan.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pembonceng parah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pembonceng yang parah dikejarkan ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X