Search

Penunggang motosikal maut di Jalan Lintas

January 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Lintas, berhampiran simpang Starbucks, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.35 malam itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kemalangan melibatkan kereta Toyota Camry dan motosikal jenis Aveta.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Toyota Camry yang bergerak dari arah Kolombong menuju ke City Mall cuba membuat pusingan-U di lokasi kejadian.

“Pada masa yang sama, mangsa yang menaiki motosikal bergerak lurus dari arah bertentangan telah bertembung dengan kenderaan tersebut di bahagian sisi kiri pintu penumpang hadapan.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum dihantar ke HQEII untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 8.40 malam oleh Pegawai Perubatan ketika menerima rawatan.

Sehubungan itu, Syed Lot berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan seorang individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian +60 10-776 8802 atau Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222,” katanya. – Info X