Search

Penunggang motosikal maut digilis lori selepas langgar jalan berlubang

March 14, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut digilis lori selepas motosikal ditungganginya dipercayai melanggar lubang sebelum hilang kawalan dalam kejadian di Kilometer 23, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa Mohd Shahmezie Fazrin Roslee, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR datang dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori jenis tipper yang berada di hadapannya.

Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Kilometer 23, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, Papar.

“Ketika cubaan memotong, motosikal mangsa dipercayai terlanggar lubang di permukaan jalan menyebabkan dia hilang kawalan sebelum terbabas dan termasuk ke bawah tayar lori terbabit.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Heryan berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, tidak memandu atau menunggang secara berbahaya serta memastikan memiliki lesen memandu yang sah.

Keadaan jalan berlubang di lokasi kemalangan di Kilometer 23 Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, Papar.

“Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya lebih berhati-hati terutama ketika musim perayaan kerana jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat.

“Keselamatan di jalan raya bukan sahaja bergantung kepada keadaan jalan, tetapi juga disiplin dan sikap pengguna jalan raya itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Heryan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau pegawai penyiasat kes. – Info X