TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tawau – Bombalai, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.40 petang.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Rigid dipandu lelaki berusia 34 tahun dan sebuah motosikal jenis Honda RS.
“Hasil siasatan awal mendapati lori terbabit dalam perjalanan dari Kuari PBJ, Batu 9 Jalan Apas menuju ke Gudang Empat.
“Selepas melalui Bulatan Jambatan Putih, pemandu lori meneruskan perjalanan ke Jalan Tawau – Bombalai dalam keadaan jalan basah akibat hujan renyai-renyai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Champin berkata, penunggang motosikal dari arah bertentangan iaitu dari Felda Umas menuju ke Tawau dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan kiri jalan.
“Mangsa tercampak ke laluan lori sebelum terkena tayar belakang sebelah kanan lori berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika keadaan jalan licin akibat hujan serta mematuhi peraturan lalu lintas. – Info X