PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Penampang – Tambunan, berhampiran dengan sebuah kedai perabot, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima satu maklumat awam mengenai kes kemalangan membabitkan kereta dengan sebuah motosikal, kira-kira jam 5.30 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun dari arah Penampang telah berlaku perlanggaran dengan sebuah motosikal.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa penunggang motosikal lelaki warga tempatan berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Noor Ishamudin Ismail di talian 017-6703700,” katanya. – Info X