KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas sembilan jam bertarung nyawa di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), akibat kemalangan di lampu isyarat, pusingan U dekat OUM, Jalan Lintas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu membabitkan sebuah motosikal jenis Honda RSX 150, Toyota Hilux dan Perodua Axia.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal yang ditunggang lelaki berusia 30-an dipercayai dari KKIA menuju ke arah Jalan Lintas.

“Penunggang motosikal dipercayai telah mengubah haluan dari sebelah kanan ke kiri jalan menyebabkan perlanggaran berlaku dengan Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 30-an.
“Sejurus itu, kereta berkenaan tersorong ke hadalab dan melanggar sebuah lagi kenderaan Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 60-an yang sedang berhenti disebabkan lampu isyarat warna merah.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak di atas jalan raya dan termasuk di bawah Perodua Axia berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HQEI untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun kira-kira jam 9 malam tadi, polis mendapat makluman daripada Unit Kecemasan HQEI bahawa penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Kasim berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
Selain itu katanya, bagi setiap penunggang motosikal juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berada di atas jalan raya. – Info X