PUTATAN: Seorang lelaki parah manakala motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli ditunggangnya musnah terbakar selepas terbabit kemalangan di Jalan Petagas, berhampiran Taman Jumbo, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, motosikal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Kancil, sebelum api marak memusnahkan keseluruhan motosikal berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.16 pagi sebelum sepasukan lima anggota dikerahkan ke lokasi sejauh 3.6 kilometer.
“Penunggang motosikal lelaki berusia 53 tahun mengalami cedera parah dan segera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, tiga mangsa dalam kereta Perodua Kancil dilaporkan selamat tanpa kecederaan, namun dua wanita mengalami trauma,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dipadam menggunakan satu aliran hos dengan sumber air dari tangki jentera dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X