Search

Penunggang, pembonceng maut kemalangan di Semporna

March 14, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Penunggang dan pembonceng maut dalam Kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Simpang Lauhari, Jalan Tampi-Tampi, di sini, petang tadi.

Kedua-dua mangsa lelaki warga tempatan berusia lingkungan 16 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berusia lingkungan 50 tahun dalam perjalanan dari arah Kampung Tampi-Tampi menuju ke Kampung Bangau-Bangau.

“Kemalangan berlaku ketika Toyota Hilux membuat pusingan U-Turn dan dilanggar oleh motosikal yang datang dari arah belakang.

“Akibat daripada pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Semporna,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Penunggang dan pembonceng maut dalam Kemalangan di Simpang Lauhari, Jalan Tampi-Tampi, Semporna. – Foto/PDRM

Mohd Farhan berkata, pemandu Toyota Hilux warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

“Kepada sesiapa yang ada sebarang maklumat berkenaan kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati di kawasan kerap berlaku kemalangan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi anak-anak ketika menunggang motosikal dan memastikan memakai topi keleder,” ujarnya. – Info X