Search

Penyamun kerambit di Keningau diberkas

May 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang berjaya melarikan diri selepas menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Mempikit Laut, di sini, menggunakan senjata kerambit, Rabu lalu diberkas malam tadi.

Suspek warga tempatan berusia 25 tahun diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis, Azmi Abd Rahim berkata, tangkapan dilakukan jam 8.10 malam tadi, di tepi jalan Taman Motou, Jalan Masak Keningau.

“Soal siasat awal dijalankan dan suspek mengaku terbabit dalam kes samun sebuah kedai runcit, di Kampung Mempikit Laut, Rabu lalu menggunakan pisau kecil berupa kerambit.

“Suspek juga adalah penjenayah yang tegar dan terbabit dalam kegiatan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Barang milik suspek yang disyaki digunakan ketika kejadian turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Azmi berkata, pasukan operasi turut merampas sebuah motosikal, kerambit, beg, dua telefon bimbit serta pakaian suspek.

Katanya, tangkapan itu berjaya menyelesaikan satu kes samun berkenaan.

“Dalam kejadian samun itu, suspek memakai topi keleder bervisor gelap dan bersenjatakan sebilah pisau berupa kerambit.

“Suspek kemudian mengacukan kerambit ke arah pemilik kedai runcit lelaki berusia 69 tahun dan terus mengambil barang milik mangsa sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal warna biru gelap,” katanya.

Menurutnya, suspek yang positif dadah jenis syabu dibawa ke Balai Polis Keningau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X