KOTA KINABALU: Tindakan pantas petugas Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru, berjaya menyelamatkan empat individu termasuk kanak-kanak lelaki selepas Stand Up Paddle (SUP Board) dinaiki mereka hanyut dibawa ombak di Pantai Tanjung Aru 2, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku ketika mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita dewasa serta kanak-kanak lelaki sedang melakukan aktiviti SUP Board sebelum mereka dibawa arus ombak.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengusaha SUP Board yang memaklumkan kejadian itu kepada petugas MPP Tanjung Aru, pada jam 7.20 malam.
“Pengadu memaklumkan empat individu dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti SUP Board di kawasan Pantai Tanjung Aru 2.
“Pengadu juga memaklumkan bahawa semua mangsa kemungkinan tidak dapat balik ke darat disebabkan dihanyut oleh arus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, petugas penyelamat pantai kemudian membuat pencarian di kawasan perairan Pantai Tanjung Aru menggunakan bot dan juga sekitar kawasan darat.
“Semua mangsa berjaya ditemui oleh anggota penyelamat pantai bersama SUP Board mereka, kira-kira 700 meter dari darat.
“Anggota penyelamat kemudian membawa mangsa ke darat dengan selamat,” katanya. – Info X