Search

Penyeludup cabut lari, rokok RM131,700 ditinggalkan

September 2, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Sekumpulan individu melarikan diri dan meninggalkan 97,800 batang rokok tidak bercukai bernilai RM131,700 selepas kegiatan mereka dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jeti Kampung Kombo, Jalan Leila, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu, pasukan PPM Sandakan yang bertindak hasil maklumat risikan mengesan beberapa individu sedang memunggah barangan dari sebuah bot ke atas jeti.

Menyedari kehadiran polis, bot berkenaan terus memecut meninggalkan kawasan berkenaan, manakala beberapa individu di atas jeti turut melarikan diri.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah berkata, pemeriksaan di sekitar jeti kemudian menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari Filipina.

“Rampasan membabitkan 40,000 batang rokok Oakley Original, Oakley Original Menthol (10,000), L3 Menthol (16,000) dan L3 Black Menthol (31,800).

“Keseluruhan rampasan berjumlah 97,800 batang rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai RM131,700,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, setakat ini sebanyak 57 kes mengikut Akta Kastam 1967 direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM8.01 juta, selain 39 individu ditahan.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan serta lokasi pemunggahan barangan seludup.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan kawalan akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X