KOTA KINABALU: Perdana Park Tanjung Aru, di sini yang diarah tutup susulan insiden pengunjung diserang memerang ketika beriadah di taman itu pada awal September lalu dibenar dibuka semula.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sudah membenarkan pembukaan semula taman itu selepas disahkan mamalia berkenaan tidak membawa penyakit yang boleh berjangkit kepada manusia.
Beliau berkata, arahan penutupan taman berkenaan sebelum ini disebabkan kebimbangan mengenai kemungkinan memerang membawa penyakit dan mengakibatkan ia berjangkit kepada manusia jika digigit haiwan itu.
“Kita sudah meminta supaya taman itu dibuka semula kerana kita sudah mendapat pengesahan daripada jabatan yang berkenaan bahawa memerang sebenarnya tidak membawa penyakit.
“Kita takut hari itu ia membawa penyakit, jadi kalau haiwan itu bawa penyakit dan menggigit orang, nanti orang yang kena gigit mungkin boleh mendapat penyakit.

“Namun, setakat ini difahamkan perkara itu tidak berlaku dan kita sudah meminta pengusaha Perdana Park untuk membuka semula taman berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau mengulas perkembangan kes serangan sekumpulan memerang yang menyebabkan tiga pengunjung taman menjadi mangsa ketika beriadah di Perdana Park, Tanjung Aru pada awal September lalu.
Berikutan insiden itu, DBKK mengarahkan pengurusan taman yang popular sebagai tempat warga bandar raya ini beriadah menutup sementara kawasan berkenaan dan sehingga hari ini ia sudah ditutup lebih sebulan.
Sabin berkata, DBKK sudah mengarahkan pengurusan taman berkenaan membukanya semula namun setakat hari ini ia belum dibuka kepada orang awam kerana ada kerja penyelenggaraan.
Mengenai sama ada memerang berkenaan masih datang atau tidak ke taman itu, Sabin berkata perkara berkenaan tidak dapat dipastikan.
Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai tidak mengganggu haiwan liar itu jika terserempak dengannya di mana-mana. – Info X