KOTA KINABALU: Kumpulan Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah menamatkan demonstrasi mereka di hadapan Menara Kinabalu, di sini, pagi ini tanpa menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Perhimpunan anjuran sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu membuat keputusan bersurai selepas tiada tanda-tanda desakan mereka untuk menemui Ketua Menteri dan menyerahkan sendiri memorandum kepadanya akan berhasil.
Kordinator Sekreteriat Perhimpunan itu, Mohammad Norhamdin Nordin berkata, Ketua Menteri boleh mencari memorandum mereka berhubung isu air yang dibangkitkan mereka menerusi perhimpunan itu di media sosial.

Beliau turut menjawab beberapa perkara yang dikaitkan dengan perhimpunan itu sejak ia dimulakan petang semalam, termasuk berkaitan penahanan sembilan individu tanpa dokumen dan pembabitan ahli dan parti politik.
Dakwanya, sembilan yang ditahan polis itu ialah masing-masing seorang guru dan lapan pelajar sekolah alternatif Teluk Layang berstatus penduduk tanpa negara atau ‘stateless’.
“Kami bersolidariti bersama guru dan pelajar terbabit yang ditahan semalam dan memantau rapat kes itu,” katanya pada sidang media sebelum kumpulan berkenaan bersurai di hadapan Menara Kinabalu, di sini, pagi ini.
Mengenai pembabitan parti politik, beliau menafikan perhimpunan itu didalangi mana-mana parti dan menyifatkan kehadiran orang politik dalam perhimpunan itu atas kapasiti sebagai rakyat.

Semalam, sekumpulan individu yang disertai mahasiswa UMS, wakil komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) seramai kira-kira 80 orang berkumpul di hadapan Menara Kinabalu dengan niat untuk menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Menteri.
Mereka enggan menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan, termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya selaku menteri bertanggungjawab dalam soal air yang berada di lokasi dan sedia berjumpa dengan sekretariat perhimpunan itu.
Ends