KOTA KINABALU: Isu pelaksanaan pembayaran interim RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi perhatian pelbagai pihak di Sabah yang mahukan penjelasan lebih terperinci, khususnya membabitkan kaedah serta mekanisme pembayaran dana berkenaan.
Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Datuk Peter, berkata aspek pelaksanaan termasuk saluran dana, struktur pembayaran serta mekanisme pemantauan perlu diperincikan segera bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, perkara paling utama yang perlu dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan ialah kaedah pelaksanaan pembayaran RM1.5 bilion itu sama ada disalurkan terus kepada kerajaan negeri, melalui projek pembangunan atau mekanisme lain yang ditetapkan.
“Pemberian khas interim RM1.5 bilion itu tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad MA63. Yang lebih penting ialah bagaimana kaedah dan mekanisme pembayaran ini dilaksanakan secara terperinci,” katanya.
Menurutnya, rakyat Sabah sudah sekian lama menunggu penyelesaian penuh isu MA63 yang dianggap sebagai hak negeri, bukan sekadar pengumuman bantuan bersifat interim.
“Kaedah dan mekanisme bayaran ini mesti diperjelaskan dengan teliti sama ada melalui peruntukan terus, akaun khas negeri atau pelaksanaan projek tertentu. Tanpa kejelasan, ia boleh menimbulkan pelbagai persoalan ketika peringkat pelaksanaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan ketelusan pengumuman berkenaan termasuk asas pertimbangan jumlah RM1.5 bilion itu serta sama ada ia benar-benar mencerminkan penyelesaian menyeluruh tuntutan Sabah.
Priscella turut menggesa penjelasan lanjut berhubung tempoh pembayaran, jadual pelaksanaan serta mekanisme pemantauan dan pelaporan penggunaan dana oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, peruntukan itu lebih wajar dilihat sebagai pembayaran awal kepada hak Sabah di bawah MA63, bukannya sekadar pemberian khas.
Menurutnya, semua bayaran interim juga dicadangkan dimasukkan ke dalam satu akaun khas Sabah yang diuruskan oleh kerajaan negeri bagi memastikan ketelusan serta pemantauan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Priscella turut mempersoalkan mengapa jumlah tuntutan tidak diselesaikan lebih awal sekiranya Kerajaan Negeri dan Kuala Lumpur mempunyai jumlah yang tepat berdasarkan hasil pendapatan dari 2022 hingga 2025.
“Saya percaya Kerajaan Negeri Sabah dan Kuala Lumpur mempunyai jumlah yang tepat berdasarkan hasil pendapatan dari 2022 hingga 2025.
“Mengapa jumlah tuntutan ini tidak diselesaikan lebih awal sekiranya Perdana Menteri benar-benar ikhlas dalam menyelesaikan tuntutan MA63, atau adakah ia sekadar siri pengumuman menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 yang semakin hampir dan kritikal bagi Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian khas interim RM1.5 bilion sebagai sebahagian usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berkaitan MA63.
Bagaimanapun, pelbagai pihak di Sabah berpendapat pelaksanaan itu perlu diperincikan dengan jelas, khususnya dari segi kaedah pembayaran, mekanisme penyaluran serta penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan ia mencapai matlamat yang disasarkan. – Info X