KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan memperkenalkan perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di bandar raya ini.
Perkhidmatan itu yang dijadual beroperasi mulai tahun depan bakal menyediakan perkhidmatan bas berhenti-henti yang lebih dinamik dan efisyen untuk keselesaan pengguna.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata dengan pra-pelancaran perkhidmatan itu Sabtu lalu, berkata ia membuka era baharu kepada sistem pengangkutan awam di Sabah yang mana ianya adalah selari dengan matlamat MOT meningkatkan mobiliti, produktiviti dan peningkatan taraf hidup rakyat.
Katanya, kerajaan Persekutuan menerusi kementeriannya memberikan sejumlah peruntukkan yang besar bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Bagi BAS.MY Kota Kinabalu, kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM17.6 juta setahun atau RM88 juta secara keseluruhan selama lima tahun bagi melaksanakan inisiatif ini.
“Inisiatif serupa sudah dilancarkan dan beroperasi sepenuhnya di Kangar, Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu, Johor Baharu, Melaka, Kota Setar, Kota Bharu, Kuantan, Kuching dan kini giliran Kota Kinabalu yang akan mula beroperasi secara berfasa,” katanya.
Pra pelancaran perkhidmatan itu diadakan di KK Sentral pada Sabtu.
Beliau berkata, selain perkhidmatan bas yang moden, perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu turut disertai dengan inisiatif tambahan yang menarik bakal dinikmati pengguna.
“Selain memastikan perkhidmatan bas yang berkualiti disediakan, Kerajaan Madani juga amat prihatin terhadap kos pengangkutan awam yang ditanggung oleh rakyat. Oleh itu, pas bulanan perjalanan tanpa had Kad 30 Hari BAS.MY akan diperkenalkan di Kota Kinabalu.

“Perkhidmatan BAS.MY ini akan turut disertai dengan inisiatif-inisiatif tambahan seperti Kad Konsensi, Kad Tambang yang akan memberikan faedah kepada golongan sasar seperti OKU, warga emas, pelajar serta golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Sehubungan itu, Loke berharap penduduk di bandar raya ini dan kawasan berdekatan mengambil peluang menggunakan sepenuhnya perkhidmatan BAS.MY itu nanti.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe merakamkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan, khususnya Kementerian Pengangkutan kerana melaksanakan program BAS.MY Kota Kinabalu.
“Mewakili Ketua Menteri Sabah, saya amat berbesar hati dan gembira kerana inisiatif yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah khususnya di Kota Kinabalu akhirnya dilancarkan,” katanya yang juga menteri Penyelaras Pengangkutan Awam Kota Kinabalu.
BAS.MY Kota Kinabalu adalah inisiatif kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) Kota Kinabalu.
Selepas beroperasi sepenuhnya, perkhidmatan BAS.MY akan menawarkan perkhidmatan bas berhenti-henti dari KK Sentral ke lapan laluan yang membabitkan 48 bas baharu yang dilengkapi Global Positioning System (GPS) bagi pemantauan bas secara ‘real time’.
Perkhidmatan mesra OKU dan warga emas itu juga dilengkapi Sistem Pembayaran Cashless / E-Ticket, sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk pemantauan keselamatan penumpang.
Waktu operasi dijadual bermula jam 5.30 pagi hingga 11 malam dengan tempoh pergerakan antara 30 minit hingga sejam bagi setiap laluan. – Info X