Search

PERMOS nafi acara Car Culture tiada kelulusan pihak berkuasa

February 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Permotoran Borneo Sabah (PERMOS) menafikan program permotoran anjuran Car Culture (CULT) di tempat letak kereta Foh Sang, di sini, baru-baru ini tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa atau melanggar undang-undang.

Presidennya, Datuk Mohd Fadil Fathullah, turut menyifatkan dakwaan bahawa penganjuran program itu mencetuskan huru-hara adalah tidak tepat atau tidak seperti yang digambarkan.

Lokasi program permotoran Car Culture di tempat letak kereta Foh Sang.

“Pogram yang diadakan baru-baru ini adalah acara santai dan ramah mesra di antara semua ahli kelab permotoran di kawasan berkenaan.

“Tidak ada sebarang aktiviti yang melanggar undang undang, termasuk penggunaan tapak parkir sudah mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Kita juga mendapat permit untuk menganjurkan program itu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang sebelum ini mengenai penganjuran program berkenaan.

Katanya, pihak terbabit sepatutnya menyelidik terlebih dahulu penganjuran program itu sebelum mengeluarkan kenyataan dengan tuduhan yang tidak tepat.

Peserta program permotoran Car Culture di tempat letak kereta Foh Sang.

“Acara yang dianjurkan adalah acara rasmi dan mengikut segala undang-undang yang ditetapkan dalam permohonan sebelum acara itu diteruskan.

“Bagaimanapun, saya akan menyelidik perkara ini dengan teliti. Semua ahli persatuan saya juga sedia maklum bahawa mereka boleh diambil tindakan jika terdapat sebarang kesalahan atau aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.

Mohd Fadil berkata, program yang dijalankan oleh persatuan itu mendapat sambutan yang mengalakkan daripada golongan anak muda yang gemar dengan aktiviti permotoran.

“Aktiviti ini dianjurkan bagi peminat sukan permotoran supaya mereka mengambil langkah bersukan secara sihat dan sudah tentu ini memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Malah, menerusi program ini juga peserta menerima maklumat memgenai perundangan jalan raya dan sekali gus menolak pandangan negatif daripada umum mengenai sukan permotoran ini,” katanya. – Info X