Search

Persekutuan tidak pertikai hak 40 peratus Sabah – Mustapha

May 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menegaskan tuntutan 40 peratus hasil Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara itu bukan satu bentuk ihsan atau geran dan kedudukannya tidak pernah dipertikaikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, usaha melaksanakan perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah sedang berjalan secara berterusan melalui pelbagai platform rasmi.

“Di peringkat persekutuan, Kerajaan MADANI telah memperkukuh mekanisme pelaksanaan melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Teknikal MA63 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Setakat ini, sebanyak 13 daripada 29 perkara telah berjaya diselesaikan, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam melaksanakan MA63 secara berperingkat tetapi konsisten,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Sepanggar itu memberi maklum balas terhadap kenyataan ADUN Kapayan, Chin Tek Ming mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Mustapha berkata adalah penting untuk perkara itu dijelaskan secara tepat berlandaskan fakta serta kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Dalam isu 40 peratus hasil Sabah, katanya rundingan kini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Kerajaan Negeri Sabah.

Platform itu, katanya memberi tumpuan kepada pemuktamadan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih Persekutuan dari Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau berkata ia turut menumpukan aspek penyelarasan dan pengesahan data hasil melibatkan agensi utama seperti LHDN dan Jabatan Kastam bagi tempoh semasa termasuk tahun-tahun terdahulu

“Tumpuan juga terhadap penelitian isu ‘lost years’, iaitu tempoh bayaran yang belum diselesaikan sejak sekian lama dan memerlukan pendekatan yang adil serta dipersetujui bersama;

“Seterusnya adalah perkara membabitkan perbincangan mekanisme pelaksanaan secara berfasa, bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan,” katanya.

Mustapha berkata, beberapa siri pertemuan dan mesyuarat penyelarasan sudah diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah termasuk dengan Menteri Kewangan Sabah dan pegawai kanan Perbendaharaan Malaysia bagi memperincikan hala tuju serta mempercepat proses pemuktamadan.

“Pertukaran data antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 juga telah dilaksanakan dan kedua-dua pihak kini mempunyai asas kefahaman yang lebih jelas terhadap angka dan kaedah pengiraan yang terlibat.

“Pada masa yang sama, Kerajaan turut meningkatkan ketelusan dan pemantauan pelaksanaan MA63 melalui pembangunan Dashboard Status Pelaksanaan MA63, di mana Fasa 1 telahpun dilaksanakan bagi membolehkan pemantauan asas kemajuan setiap perkara, manakala Fasa 2 sedang dalam pembangunan untuk memperluas fungsi termasuk pemantauan yang lebih terperinci, integrasi data antara agensi serta akses maklumat yang lebih menyeluruh secara masa nyata.

“Kesemua usaha ini menunjukkan bahawa rundingan ini bukan berada dalam keadaan statik, tetapi sedang bergerak ke hadapan secara berstruktur dan berpaksikan fakta serta peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, isu itu memerlukan pendekatan yang bertanggungjawab dan berpaksikan penyelesaian jangka panjang dengan keutamaan memastikan Sabah menerima haknya secara berkesan, bukan sekadar menjadi polemik politik semata-mata.

Jelasnya, pembayaran interim hanyalah penyelesaian sementara sehingga penyelesaian muktamad dibuat dengan persetujuan Kerajaan Negeri dan Pusat.

“Sebarang usaha menaikkan nilai pembayaran interim adalah wajar bagi memacu pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. – Info X