KOTA KINABALU: Sebanyak sembilan projek peningkatan bekalan air sedang dilaksanakan di seluruh negeri bagi mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata projek jangka panjang dijangka siap dalam
tempoh dua hingga tahun dari sekarang.
Projek pertama katanya ialah Skim Bekalan Air Lahad Datu Fasa1 – loji rawatan air (LRA) baharu berkapasiti 60 juta liter sehari (JLH) yang dijangka siap pada Mac 2025.
“Kedua, Projek Penambahan Kapasiti LRA Telibong II dari 80JLH ke 160JLH termasuk paip utama dan tangki simpanan yang dijadual siap sepenuhnya pada Januari 2025.
“Kemudian, ketiga Projek Penambahan Kapasiti LRA Kogopon dari 40 JLH ke 80 JLH, termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan yang dijangka siap pada Ogos 2026.
“Keempat, projek menaik taraf sistem bekalan air termasuk tangki simpanan di Sandakan – Menambahbaik Sistem Tangki Simpanan Air yang dijangka siap pada Julai 2026,” katanya pada Persidangan DUN, hari ini.
Beliau menjawab soalan mengenai sasaran untuk menyelesaikan isu air di negeri ini yang dikemukakan Dr Akbar Gulasan (PAS-Dilantik).
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata projek selebihnya ialah Skim Bekalan Air Tawau Fasa III: Rekabentuk dan Pembinaan Empangan Air Mentah berkapasiti 30MCM yang dijangka siap pada Julai 2026.
“Projek yang keenam ialah pembinaan LRA Cinta Mata II, Tawau – LRA baharu berkapasiti 30JLH yang dijangka dimulakan tahun depan dan siap pada 2028.
“Seterusnya ialah pembinaan LRA Mamut, Ranau berkapasiti lima JLH yang dijangka siap pada Disember 2025 dan LRA Pitas 2 berkapasiti 10 JLH yang dijangka siap pada Ogos 2024,” katanya.
Satu lagi projek yang sedang dilaksanakan, katanya ialah Skim Bekalan Air Segera (UWSS) Kasigui berkapasiti lima JLH di Penampang yang dijangka siap pada tahun depan.
Shahelmey berkata, JANS juga merancang menambah kapasiti bekalan air di daerah lain mengikut Zon Pantai Barat, Pantai Timur dan Pedalaman Sabah yang disenaraikan dalam Program Peruntukan Persekutuan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Melaysia Ke-13 (RMKe-13)
Sementara itu, Shahelmey berkata, setakat ini Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mempunyai sebanyak 89 LRA di seluruh negeri dengan kapasiti reka bentuk 1,534 JLH, namun pengeluaran semasa hanya 1,420 JLH.
Selain itu, katanya, JANS juga menyelia dan mengoperasi aset air iaitu sebanyak tujuh empangan, 1,126 rumah pam air mentah dan air terawat, termasuk pam penggalak serta 161 set janakuasa dan 1,150 tangki simpanan air di seluruh negeri.
“Jumlah permintaan bekalan air yang kian bertambah dari tahun ke tahun menyebabkan semua 89 LRA beroperasi pada tahap maksimum kapasiti rekabentuk termasuk aset sedia ada.
“Faktor seperti pertambahan penduduk, pembangunan pesat kawasan baharu dan perkembangan aktiviti ekonomi baharu menyebabkan permintaan bekalan air terawat terus bertambah dan meningkat,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya JANS juga berdepan cabaran untuk menyediakan fasiliti bekalan air yang mencukupi seperti jaminan ketersediaan sumber air mentah, perubahan iklim, aset yang kurang mapan dan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.
“Oleh itu, setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT), JANS sentiasa membuat perancangan pembangunan bekalan air untuk jangka panjang bagi memastikan permintaan bekalan air adalah mencukupi untuk tempoh 30 hingga 50 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, selain merancang dan membina fasiliti bekalan air untuk jangka panjang dan berimpak tinggi, katanya JANS juga melaksanakan projek bagi meluaskan liputan bekalan air di kawasan luar bandar di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) melalui Peruntukan Geran Persekutuan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Katanya, pelaksanaan projek di bawah program itu dijangka dapat mencapai sasaran 90 peratus liputan bekalan air terawat bagi kawasan luar bandar Sabah menjelang 2035. – Info X