PUTATAN: Seramai 72 peserta dari sekitar daerah ini mengambil bahagian dalam Program Juara: Pertandingan Petanque Daerah Putatan 2025 yang diadakan di Arena Bakut, di sini, baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, seramai 42 peserta bertanding bagi kategori lelaki, manakala seramai 30 peserta lagi bersaing dalam kategori wanita.
Progam yang berlangsung pada 19 Julai lalu itu dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Kelab Sukan Sendil Boules, Kelab Sukan Boules Pasir Putih dan Kelab Boules Ketiau.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat ) Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit, berkata penganjuran program itu bukan setakat mencungkil bakat baharu dalam sukan petanque.
“Bukan setakat mencungkil bakat, malah ia juga sebagai platform bagi memperkukuh perpaduan komuniti setempat melalui aktiviti riadah sihat.
“Sepanjang kejohanan, peserta menunjukkan komitmen tinggi dan disiplin yang membanggakan, sekali gus mencerminkan potensi besar sukan petanque untuk terus dikembangkan di peringkat akar umbi,” katanya mengulas penganjuran program itu.
Beliau diwakili Ahli Dewan Belia Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Saiful Bahri Bahrum yang turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai dan hamper kepada pemenang pada majlis penutupan, Ahad lalu.
Pertandingan itu dijuarai Mohamad Syahzamil Madarin Syahar Alli bagi kategori lelaki (13 -20 tahun), diikuti Ainol Shahramadan Abu Bakar (Naib Johan) dan Mohammad Haiqal di tempat ketiga.
Bagi kategori Wanita (13-20 tahun), dimenangi Leeyana Fitrialesya Kamrudin, Noresh Shafamarwa Nazbi (Naib Johan) dan Nur Shaqila Sari di tempat ketiga. – Info X