Search

Pesakit mental maut dilanggar lori ketika melintas

June 6, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pejalan kaki yang disahkan pesakit mental maut dilanggar lori ketika melintas jalan dalam kejadian di Batu 3 Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan itu pada jam 4.40 pagi.

Katanya, kemalangan maut itu membabitkan seorang pejalan kaki dilanggar sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit dari bergerak arah Taman Kuhara Jaya menuju ke Pekan Semporna untuk menghantar barang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan secara tiba-tiba muncul melintas jalan, dan disebabkan jarak terlalu dekat, lori berkenaan terus melanggar pejalan kaki itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Batu 3 Jalan Apas, Tawau.

Jasmin berkata, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan mayatnya di bawa ke unit forensik Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa adalah pesakit mental dan mempunyai kad orang kelainan upaya (OKU).

“Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) AKta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X