TAWAU: Sebuah pesawat AirAsia penerbangan AK 5741 untuk tujuan Tawau ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik selepas hampir sejam di udara disebabkan masalah enjin.
Pengurus Lapangan Terbang Tawau, Rehan Shafiq Azizan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Kawalan Trafik Udara (CAAM ATC) mengenai kejadian itu pada jam 3.03 petang.
Katanya, juruterbang pesawat AirAsia penerbangan AK 5741 TWU-KUL meminta untuk kembali ke lapangan terbang (RTB) disebabkan masalah enjin.
“Susulan itu, Perkhidmatan Penyelamat dan Bomba Pesawat (AFRS) telah mengaktifkan agensi berkaitan dan kenderaan bersedia di kedudukan masing-masing.
“Syarikat penerbangan berkenaan juga sudah dimaklumkan dan tempat parker pesawat bay 5 telah disediakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pesawat berkenaan mendarat dengan selamat pada jam 4.34 petang di landasan RYW 24 dan diletakkan di tempat parkir bay 5.
“Semua penumpang dalam keadaan baik, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan kejadian ini tidak menjejaskan operasi lapangan terbang yang lain,” katanya. – Info X