Search

Pesta Kaamatan bukti kerajaan komited mantapkan seni, budaya – Hajiji

May 30, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penganjuran perayaan Pesta Kaamatan membuktikan kerajaan negeri sentiasa komited ke arah pemantapan seni dan budaya di Sabah.

Katanya, penganjuran perayaan Pesta Kaamatan dilihat memberikan impak dalam usaha kerajaan mengukuhkan lagi semangat perpaduan.

“Sambutan ini juga mampu mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dan agama di negeri ini.

“Selain itu, kehadiran pelbagai lapisan rakyat termasuklah pelancong jelas membuktikan menerusi Pesta Kaamatan, semangat persaudaraan dan perpaduan bukan sahaja dapat terus disemai malahan mampu diperkukuh kesejahteraan seluruh rakyat.

“Budaya dan tradisi suku kaum turut sesuatu yang sangat penting dalam usaha menyatupadukan rakyat ke arah hidup  lebih progresif.

“Kita juga berharap perayaan yang mengangkat budaya bangsa dan adat resam seumpama ini akan terus dipertahankan serta dipelihara agar tidak luput ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan pihaknya akan terus menggunakan pendekatan menyeluruh serta bersepadu dalam usaha merancang  pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, sokongan padu berterusan daripada rakyat kepada kerajaan negeri adalah penting bagi memastikan setiap pelaksanaan program pembangunan yang dirancang melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Selaku Ketua Menteri, saya bersama jemaah Kabinet negeri dan pentadbiran kerajaan berikrar dengan penuh komitmen untuk membawa Sabah mara ke hadapan menuju pembangunan yang holistik sesuai dengan wawasan yang terkandung di dalam dasar Halatuju SMJ.

“Menerusi mandat serta sokongan padu rakyat kepada kerajaan negeri, kita kini berada di landasan yang tepat untuk meneruskan pentadbiran dalam memulihkan ekonomi dan memajukan negeri”, katanya. – Info X