Search

PGA Batalion 14 Tawau tahan 3 wanita, rampas minuman keras

January 5, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau menahan tiga wanita dan merampas minuman keras tanpa cukai bernilai RM12,000 dalam serbuan di sebuah kedai runcit di kawasan Brantian menghala ke Kalabakan, di sini, hari ini.

Rampasan dijalankan Team Risik 14 bersama Task Force Perisikan diketuai oleh Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohd Rafail Rabbahil menerusi Op Kontraban.

Pegawai Pemerintah Batalion 14, PGA Tawau, Superintendan Anselinus Marcus berkata, serbuan berkenaan selain rampasan minuman keras yang tidak mempunyai lesen niaga, pasukan operasi turut menahan tiga wanita.

Barangan minuman keras yang dirampas dan tiga wanita ditahan dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Tawau. – Foto/PGA

“Ketiga-tiga wanita terbabit tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah dan bekerja di kedai runcit berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan minuman keras pelbagai jenama dianggarkan berjumlah RM12,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, PGA akan sentiasa melaksanakan gerak gempur dalam membanteras aktiviti kontraband.

Selain itu, katanya operasi dan serbuan akan giat dijalankan di kawasan tanggungjawab Batalion 14 PGA Tawau yang membabitkan pelbagai jenis aktiviti penyeludupan, kontraband termasuk minyak diesel, minyak sawit mentah (CPO) serta barangan seperti ayam dan daging sejuk beku tanpa sijil halal yang sah dan tiada kelulusan Veterinar di sekitar KTJ.

“Untuk rekod tangkapan yang lalu iaitu pada 19 September 2024, Pasukan Task Force Risik Batalion 14 PGA Tawau membuat serbuan sebuah tapak lot yang tertutup di Kampung Beruang Merotai-Tawau.

Serbuan di sebuah tapak lot yang tertutup di Kampung Beruang Merotai-Tawau pada 19 September 2024.

“Hasil serbuan itu, merampas 112,600 kilogram minyak sawit CPO yang tidak berlesen dan bersama tiga lori tangki bernilai RM1.3 juta,” katanya. – Info X