KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM5 juta beberapa serbuan bermula 18 hingga 31 Januari lalu.
Selain rampasan berkenaan, serbuan yang dijalankan di sekitar kawasan pantai barat dan timur Sabah turut menahan 28 individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, kejayaan ini adalah hasil risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan Brigad Sabah PGA berdasarkan maklumat daripada orang awam.
“Hasil daripada kejayaan serbuan dalam tempoh dua minggu ini, Brigad Sabah PGA berjaya menahan seramai 28 orang dengan pecahan 15 lelaki tempatan, 11 lelaki dan satu wanita Filipina serta satu lelaki Indonesia.
“Semua serbuan ini berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan turut merampas pelbagai jenis mercun, ayam sejk beku, daging sejuk beku, pelbagai jenis rokok/minuman keras, senjata api buatan sendiri, air ketum dan penyeludupan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan beserta cukai dianggarkan bernilai RM5,080,836.78.
Katanya, serbuan itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota terdiri daripada formasi Batalion (BN) 14 PGA Tawau, BN 15 PGA Sandakan, BN 16 PGA Kota Kinabalu, BN 17 PGA Lahad Datu, BN 20 PGA Beluran, BN 21 PGA Keningau dan BN 22 PGA Kunak.
“Pelbagai operasi telah dijalankan iaitu Op Taring Eszzone, Op Taring Daratan, Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Kontraban serta Penugasan Road Check Point (RCP),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata polis melalui PGA secara khususnya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab dan profesional demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia.
“Polis juga mengharapkan supaya orang awam dapat terus menyalurkan segala jenis maklumat berkaitan kes-kes penyeludupan yang berlaku di sekita4 kawasan mereka bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan,” katanya. – Info X