Search

PGA Sabah rampas barang seludup bernilai lebih RM11.8 juta

October 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) meneruskan komitmen membanteras jenayah penyeludupan dengan pelbagai pendekatan hingga berjaya merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM11.8 juta sepanjang September lalu.

Pemangku Komander Briged Sabah PGA, Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi bersepadu dijalankan menerusi Op Taring ESZZONE/Daratan, Op Kontraband, Op Bersepadu Khazanah, Op Hazard (E-Waste) serta sekatan jalan raya (RCP).

“Sepanjang tempoh 1 hingga 30 September lalu, sebanyak 49 serbuan dilaksanakan membabitkan anggota dari IP Briged Sabah PGA bersama batalion di seluruh negeri.

“Hasilnya, seramai 75 individu ditahan membabitkan 20 lelaki dan 12 wanita warga Filipina; lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia; dua lelaki warga China; dua lelaki warga Pakistan serta 31 lelaki dan dua wanita tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, rampasan terbesar membabitkan pelbagai barang lain bernilai RM6.44 juta.

“Ini diikuti kenderaan darat dan laut (RM2.45 juta), rokok (RM1.51 juta), makanan sejuk beku (RM547,522.88), mesin dan jentera berat (RM450,000), barangan bersubsidi (RM399,540.60), minuman keras (RM32,665.05), dadah jenis syabu dan ketum (RM12,325.40) serta senjata api, peluru dan mercun bernilai RM200.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM11,861,011.73,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu juga memutuskan rangkaian sindiket pengedaran rokok seludup, minuman keras, makanan sejuk beku, barangan bersubsidi tanpa lesen sah dan dadah di kawasan Pantai Barat serta Pantai Timur Sabah.

Dalam masa sama, katanya, PGA Sabah akan terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dengan penuh integriti serta profesional demi kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai juga diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan yang berlaku di sekitar mereka,” katanya. – Info X