KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah menahan 21 individu dengan rampasan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM20.88 juta dalam Op Bersepadu Chiller yang dijalankan serentak di tujuh daerah di negeri ini, kelmarin.
Operasi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Beluran, Keningau, Lahad Datu dan Kunak membabitkan seramai 204 pegawai dan anggota pelbagai agensi.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan ayam, daging serta makanan sejuk beku.
Menurutnya, operasi itu turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan keselamatan serta kebersihan makanan.
“Seramai 21 individu berusia antara 22 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi ini.
“Daripada jumlah itu, 17 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Menurutnya, rampasan meliputi pelbagai barangan makanan sejuk beku termasuk ayam beku, daging beku dan daging babi beku dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,883,909.85.
Nor Omar berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 13 Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948, Undang-Undang Kecil 1981 serta Peraturan 38(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Katanya, semua tangkapan dan rampasan sudah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan serta siasatan lanjut.
“PDRM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap premis mematuhi peraturan ditetapkan.
“Langkah ini juga bagi membanteras penjualan ayam, daging dan makanan sejuk beku yang diragui status halal serta kebersihannya, terutama ketika umat Islam melaksanakan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penjualan makanan sejuk beku meragukan supaya menyalurkannya kepada pihak polis. – Info X