KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menolak gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan, berbanding merombak Kabinet sedia ada.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata sebarang kekosongan dalam Kabinet boleh ditangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut proses yang sewajarnya.
Katanya, keutamaan Perdana Menteri ketika ini adalah untuk memperkukuh ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.
Beliau berkata gesaan Presiden UMNO itu sesuatu yang menghairankan kerana bercanggah dengan pendirian beliau sendiri selaku yang sebelum ini menyatakan UMNO akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
“Perjanjian yang dimeterai selepas PRU15 turut menetapkan kerjasama bagi tempoh lima tahun Parlimen Ke-15. Kerajaan Madani masih boleh meneruskan pentadbirannya sehingga Disember 2027.
“Baki penggal ini wajar dimanfaatkan untuk menunaikan amanah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), berkata pembubaran Parlimen lebih awal boleh mengganggu reformasi institusi dan penambahbaikan tadbir urus yang sedang berjalan.
Tegasnya, kerajaan perlu terus melaksanakan reformasi, menangani kos sara hidup dan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.
“S&P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A− dengan tinjauan stabil. Penarafan ini mencerminkan daya tahan ekonomi negara dan menyokong usaha menarik pelaburan.
“Jangan kerana ghairah mengejar kepentingan politik jangka pendek, kita pertaruhkan keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia,” katanya.
Berikutan itu, katanya PH Sabah menyeru semua pihak supaya menghormati mandat sedia ada dan memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk meneruskan agenda ekonomi, reformasi dan kebajikan rakyat.
Ahmad Zahid dilaporkan mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan ketika ditanya kemungkinan rombakan Kabinet Persekutuan berikutan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada Selasa.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP meletak jawatan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Selasa memulakan tahanan rumah sepanjang baki hukuman penjara hingga 23 Ogos 2028 yang dijalaninya berkaitan kes SRC International. – Info X