KOTA KINABALU: Sabah FC layak dengan mudah untuk ke suku akhir Piala FA 2024 selepas membelasah KL Rovers FC 7-0 dalam aksi Pusingan 16 di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Kemenangan besar itu bermula selepas skuad Sang Badak memecah benteng pertahanan pasukan pelawat pada minit ke-16 menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Saddil Ramdani.
Benteng KL Rovers sebelum itu agak kebal walaupun Sabah jelas lebih menguasai perlawanan dan melancarkan serangan bertali arus dari awal minit permainan lagi.
Gol pertama itu seolah-olah membuka pintu kepada Sabah untuk melancarkan serangan lebih berbahaya dan akhirnya berjaya menambah dua lagi gol sebelum babak pertama berakhir.
Jaringan kedua dan ketiga tuan rumah disumbangkan penyerang importnya, Ramon Machado, masing-masing pada minit ke-27 dan ke-44.

Beralih ke separuh masa kedua, Sabah tidak menunggu lama untuk menambah gol keempat apabila kapten pasukan, Park Taesu berjaya menjaringkan gol mudah hasil hantaran Daniel Ting pada minit ke-50.
Berselang lapan minit kemudian, Ramon Machado menambah gol kelima untuk pasukan dan yang ketiga untuk dirinya hasil serangan balas ketika pemain KL Rovers berkampung di kawasan Sabah membantu serangan rakan mereka.
Skuad Sang Badak kemudian menambah gol keenam pada minit ke-72 menerusi Mohd Jafri Chew yang berlaku tidak sampai seminit selepas penjaga gol gantian KL Rovers, Aquila Abdul Rhaman mengambil alih kawalan gawang daripada Ahmad Asyraaf Omar.
Sebelum wisel penamat, Sabah mendapat satu lagi gol bonus pada minit kecederaan hasil jaringan sendiri pemain KL Rovers, Mohd Raffi Nagoorgani yang memberi kelebihan gol kepada Sabah untuk melebarkan kemenangan 7-0 pada akhir perlawanan. – Info X