KOTA KINABALU: Pemain Sabah FC gagal mencipta banyak peluang untuk menghasilkan jaringan ketika menentang Sri Pahang FC dalam saingan pertama separuh akhir Piala Malaysia yang berakhir seri 1-1 di Stadium Likas, malam tadi.
Pengendali Sabah FC, Martin Stano, berkata walaupun mendapat gol awal pada separuh masa pertama, corak permainan anak buahnya yang terlalu lama ‘menyimpan’ bola menyebabkan mereka gagal mencipta peluang.
Jelasnya, corak permainan berubah pada separuh masa kedua, namun masih gagal memanfaatkan peluang hingga akhirnya dikecewakan jaringan penyamaan pasukan lawan pada minit ke-66.
“Ini bukan keputusan yang kita mahu, kita mahu menang untuk mendapatkan kelebihan sebelum ke perlawanan kedua nanti.
“Tapi malangnya pada separuh masa pertama kita bermain agak kurang baik walaupun dapat cipta satu gol. Kita banyak bermain bola panjang.
“Pada separuh masa kedua pemain kita dapat bermain lebih baik berbanding pada babak pertama, tapi malangnya kita dibolosi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Likas, malam tadi menyaksikan skuad Sang Badak mendahului jaringan menerusi Sturat John Wilkin pada minit kelapan sebelum disamakan kapten Sri Pahang, Kpah Sean Sherman pada minit ke-66.
Meskipun begitu, Stano bersikap positif terhadap kemampuan anak buahnya untuk terus memburu kemenangan menerusi satu lagi peluang pada perlawanan kedua di Pahang nanti.
Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk berdepan dengan Sri Pahang di gelanggang mereka sendiri setelah kejayaan mengikat Sang Badak malam tadi.
“Bukan mudah untuk bertemu dengan mereka pada perlawanan kedua nanti tapi peluang masih 50 50. Kita juga boleh buat dengan baik dan menang kerana tiada yang mustahil,” katanya. – Info X