Search

Piala SMJ: Gol tunggal Ramon hadiah kemenangan untuk Sabah

May 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ramon Machado memecah kebuntuan Sabah FC selepas menghadiahkan gol tunggal pasukan untuk muncul juara saingan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Likas, malam ini.

Gol berkenaan adalah hasil sepakan penalti yang disudahkan dengan tepat oleh Ramon pada minit ke-63 selepas dia dijatuhkan pemain KL City bagi menjadikan kedudukan perlawanan memihak kepada Sabah dengan 1-0 setelah terikat tanpa jaringan sejak awal permainan.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat berikutan kegagalan beberapa cubaan KL City untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan dan hasilnya kemenangan berpihak kepada tuan rumah, manakala KL City di tangga kedua.

Sepanjang empat perlawanan sejak 29 April lalu, Sabah menang dua kali termasuk malam ini dengan kali pertama ketika berdepan Hougang United FC dari Singapura, diikuti dua seri tanpa jaringan, masing-masing ketika menentang KL City pada 1 Mei dan Kuching City pada 3 Mei lalu.

KL City pula menang dua kali, masing-masing pada pertemuan dengan Kuching City dan Hougang United dan seri sekali ketika pertemuan kali pertama dengan Sabah sebelum tewas pada perlawanan penentuan malam ini.

Dengan kemenangan itu, skuad Sang Badak membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 dan piala kejohanan, manakala KL City menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Kassim (tengah) menyampaikan piala kejohanan Piala SMJ kepada kapten Sabah FC, Park Taesu selepas perlawanan akhir Piala SMJ. – Foto/Sabah FC

Petang tadi, Kuching City bertemu dengan Hougang United untuk penentuan tempat ketiga dan keempat Piala SMJ 2024 yang menyaksikan Kuching City menewaskan Hougang 2-0.

Jaringan Kuching City FC masing-masing disudahkan Mohd Alauddin Farid pada minit ke-18 dan Jordan Minta pada minit ke-43.

Kemenangan itu membolehkan Kuching City FC menduduki tempat ketiga kejohanan dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, manakala Hougang United FC menerima RM3,000.

Penyampaian hadiah disampaikan selepas selesai perlawanan malam ini oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Kassim Razali. – Info X