Search

Piala SMJ : Tiada perlawanan kompetitif sejak Februari jejas stamina pemain Sabah

April 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui perlawanan menentang Hougang United FC dalam saingan Piala SMJ di Stadium Likas, malam tadi bukan sesuatu yang mudah setelah tidak bermain secara kompetitif selama kira-kira tiga bulan.

Disebabkan itu, skuad Sang Badak gagal menemui rentak pada separuh masa pertama sebelum menyusun semula permainan dan dapat mencipta dua gol pada separuh masa kedua untuk menewaskan Hougang United 2-1.

Kim Swee berkata, sepanjang separuh masa pertama, pemain Sabah FC bergelut mendapatkan rentak permainan, namun berdepan kesukaran untuk menajamkan serangan di hadapan gawang lawan.

Jelasnya, ketiadaan perlawanan kompetitif sejak kali terakhir bermain dengan Macarthur FC pada perlawanan separuh akhir ZON ASEAN Piala AFC di Australia, 13 Februari lalu memberi kesan terhadap kecergasan pemain.

“Ya (pemain) kepenatan, di mana kita tahu kita tiada perlawanan kompetitif selepas bermain dengan Macarthur pada Februari lalu.

Ini adalah perlawanan kita yang pertama, jadi penting untuk kita bina semula kekuatan fizikal, stamina dan kombinasi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Aksi malam tadi menyaksikan skuad Sang Badak mencipta gol pertamanya pada minit ke-54 melalui Stuart John Wilkin, namun berjaya disamakan penyerang Hougang United, Stjepan Plazonja pada minit ke-70.

Skuad Sang Badak bagaimanapun bernasib baik dapat menyumbat satu lagi gol menerusi Saddil Ramdani pada minit ke-74, sekali gus memenangi perlawanan pertamanya dalam saingan Piala SMJ menentang kelab dari Singapura itu.

Kim Swee berharap pasukannya dapat bermain dengan lebih baik ketika perlawanan kedua dan ketiga menentang Kuching City FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum ke perlawanan penentuan pada 5 Mei nanti.

“Pada separuh masa kedua (perlawanan malam tadi), kita dapat dua gol yang amat penting dan untuk bermula dalam Piala SMJ dengan kemenangan adalah satu perkara yang positif.

Selepas ini kita harus bertambah baik di mana permainan kedua dan ketiga juga bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Katanya, Sabah FC ketinggalan dari segi perlawanan persahabatan berbanding KL City yang sudah banyak menyertai perlawanan persahabatan sebelum ini, manakala Kuching City berada di Johor untuk tiga perlawanan persahabatan baru-baru ini.

“Bagi kita ini adalah perlawanan pertama, sudah tentu itu menyukarkan sedikit tapi bukan bermakna kita tidak boleh menyaingi dan saya percaya selepas perlawanan kedua dan ketiga nanti kita akan bertambah baik,” katanya.

Kim Swee menekankan pasukannya perlu membina semula kekuatan sepanjang perlawanan Piala SMJ sebelum memulakan aksi Liga Super pada 12 Mei nanti.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Piala SMJ petang semalam, Kuala Lumpur City menewaskan Kuching City 3-1 sekali gus meletakkan pasukan dari ibu negara itu berada di tangga pertama, diikuti Sabah FC dan Hougang United, manakala kelab dari negeri jiran, Sarawak di tangga keempat.

Esok, Kuching City akan bertemu Hougang United pada jam 4 petang, disusuli perlawanan di antara Sabah dan KL City pada jam 8 malam, manakala perlawanan ketiga pada 3 Mei bermula dengan pertemuan Hougang United dan KL City pada jam 4 petang, diikuti Sabah menentang Kuching City pada jam 8 malam. – Info X