TENOM: Perlawanan pembukaan bagi merebut Piala Sumbangsih kejohanan bola sepak Piala Presiden KDM antara Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tenom menentang pasukan Pejabat Daerah Tenom, di sini, semalam, berakhir dengan Pejabat Daerah Tenom menang dengan keputusan 3-2.
Turut memeriahkan perlawanan itu ialah bekas-bekas pemain negeri seperti Henry Saimpon, Salvester Sindih dan Christopher Musa selain Presiden KDM sendiri iaitu Datuk Peter Anthony yang membarisi pasukan SAFA Tenom.

Dengan kemenangan pasukan Pejabat Daerah Tenom itu, selain menjulang piala pusingan, mereka juga membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Sementara itu, Peter yang juga presiden SAFA Tenom berkata, beliau sangat kagum dengan sambutan dan penyertaan yang diberikan daripada belia dan beliawanis Tenom dalam kejohanan berkenaan.

Katanya, sebanyak 68 pasukan telah menyertai kejohanan itu bagi kategori lelaki manakala kategori wanita pula disertai lapan pasukan.
“Selepas sahaja kejohanan ini, SAFA Tenom juga akan mengadakan kejohanan bola sepak Piala Kaamatan 2023 yang akan diadakan dalam masa terdakat ini.
“Selain itu, kami turut merancang untuk mengadakan Kejohanan Piala Krismas 2023 yang dijangka akan diadakan pada disember depan.
“Bagi memeriahkan lagi sukan bola sepak di daerah ini (Tenom), kita juga merancang untuk menganjurkan Liga SAFA Tenom, mungkin pada Januari tahun depan,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Peter berkata, beberapa pemain dalam kejohanan Piala Presiden KDM anjuran Safa Tenom berkenaan dijangka akan dipanggil untuk pemilihan seramai 40 orang bagi mewakili pasukan bola sepak Tenom di Sabah Games (SAGA) nanti. – Info X