BEAUFORT: Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir di daerah ini digesa berpindah awal bagi mengelak situasi menjadi kritikal hingga membahayakan keselamatan, selain menyukarkan operasi menyelamat.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, ia berikutan peningkatan semula paras air Sungai Padas yang dibimbangi menyebabkan banjir berterusan.
Katanya, bacaan paras air sehingga 9.13 meter pada tengah hari Ahad selain keadaan cuaca yang masih mendung berkemungkinan menyebabkan banjir berterusan sehingga beberapa hari.
“Kita mengharapkan penduduk di kawasan bahaya dan tidak selamat supaya berpindah lebih awal.

“Jangan tunggu waktu malam atau ketika jalan sudah tidak dapat dilalui baru meminta bantuan,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, di sini, pada Ahad.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, tindakan berpindah awal penting bagi membolehkan pasukan keselamatan dan penyelamat menjalankan operasi dengan lebih cepat, teratur dan selamat tanpa risiko tambahan.
Dalam pada itu, beliau berkata, situasi banjir turut dipengaruhi fenomena pasang surut air laut yang berlaku serentak, menyebabkan aliran air sungai ke laut menjadi perlahan.
“Keadaan itu dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada kejadian banjir yang masih berterusan di beberapa kawasan di daerah Beaufort pada hari ini,” katanya. – Info X