Search

PKR Sabah komited kekalkan kestabilan politik negeri – Mustapha

May 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua PKR Sabah yang baharu, Datuk Mustapha Sakmud mengulangi jaminan PKR negeri untuk terus memberi komitmen terhadap usaha mengekalkan kestabilan politik negeri ini.

Katanya, komitmen itu sebagai jaminan sokongan terhadap kerajaan negeri yang ada sekarang sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan oleh Ketua Menteri.

“PKR Sabah akan terus memberi komitmen menjamin kestabilan politik Sabah sehingga DUN dibubarkan oleh Ketua Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Kenyataan itu menyusul selepas beliau diumum sebagai Ketua PKR Sabah yang baharu menggantikan Datuk Dr Sangkar Rasam, hari ini.

Mengenai pelantikan itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, beliau menerima lantikan itu sebagai taklif atau tanggungjawab yang diamanahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

“Saya terima lantikan yang diamanahkan Presiden sebagai ‘taklif’ atau tanggungjawab dan bukan ‘tashrif’ atau keistimewaan.

“Perubahan ini menzahirkan nilai parti yang sentiasa membudayakan amalan demokrasi yang segar, di samping menyantuni dan mengangkat ‘local wisdom’ atau kearifan tempatan,” katanya.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata fokus PKR Sabah ketika ini ialah memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam kerangka gagasan Malaysia Madani yang selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut menyeru pucuk pimpinan parti di seluruh Sabah untuk merapatkan saf perjuangan dan berpadu di bawah pimpinan Perdana Menteri bagi mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Konvensyen Khas PKR Sabah dan program-program pemantapan jentera akan diadakan dalam masa terdekat serta berkala sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang,” katanya. – Info X